Tuesday, August 7, 2012

Smart Kiosk pemudah murid kuasai pembelajaran


Pencipta Smart Kiosk, Mohd Solleh Halim Mohd Sokhi (kanan) mempamerkan hasil inovasinya kepada murid yang mengunjungi Festival Hari Guru 2012 di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

INOVASI Guru Jurulatih Utama Prasekolah Negeri Selangor, Mohd Solleh Halim Mohd Sokhi mencipta Smart Kiosk ala permainan pondok-pondok telah berjaya menarik minat murid untuk belajar serta membolehkan mereka menguasai sesuatu standard pembelajaran dengan lebih mudah dan cepat.
Menurut beliau, Smart Kiosk ini berfungsi sebagai bahan pembelajaran yang menarik dan memudahkan murid prasekolah memahami sesuatu konsep berpandukan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).
"Ia menjadi bahan bantu mengajar yang paling praktikal kerana Smart Kiosk dapat dikaitkan dengan semua tunjang dan sebahagian besar standard pembelajaran dalam KSPK," jelasnya ketika ditemui di Festival Hari Guru 2012 di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.
Empat fungsi utama Smart Kiosk ialah Mari Membaca, Mari Mengira, Mari Menulis dan Mini Pusat Pembelajaran.
Setiap bahagian pada Smart Kiosk mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan dapat diaplikasikan sepenuhnya dalam semua subjek seawal murid prasekolah hadir sehingga mereka pulang.
"Kiosk ini diilhamkan atas rasa perlunya ada pentas mini untuk menjadikan sesuatu persembahan bercerita lebih menarik dan diikuti dengan persembahan puppet.
"Dengan wujudnya bahan seperti itu akan membuatkan murid prasekolah lebih berminat untuk mengikuti sesi tersebut dan murid juga akan mudah memahami sesuatu cerita yang disampaikan," jelasnya.
Smart Kiosk yang digunakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Serong, Tanjong Karang, Selangor ini menerapkan konsep belajar secara hands on dan belajar melalui bermain.
"Murid dapat melibatkan diri secara aktif dan pembelajaran yang berpusatkan murid ini turut dapat memupuk nilai-nilai murni melalui aktiviti kumpulan yang dijalankan," katanya.
Mohd Solleh Halim memberitahu, kebanyakan murid prasekolah terutamanya murid yang tinggal di desa mempunyai minat yang kurang terhadap semua subjek melainkan ada sesuatu yang luar biasa dan lain daripada yang lain semasa sesi P&P.
"Dengan adanya bahan ini, pembelajaran di prasekolah adalah sesuatu yang menyeronokkan," ujarnya.
Maklum balas daripada guru-guru prasekolah daerah Kuala Selangor mengenai Smart Kiosk amat menggalakkan.
Justeru, ujarnya, ia memberi semangat serta sumber inspirasi untuk menjadikan bahan ini lebih baik dan berkesan serta dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua guru prasekolah khususnya dan juga kepada guru-guru lain.

Sumber : Arkib 21 Mei 2012 http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment